Golf Melaka 750-7 Golf Open: Hampir 1,000 sahkan penyertaan

Golf Melaka 750-7 Golf Open: Hampir 1,000 sahkan penyertaan

HAMPIR 1,000 peserta mengesahkan penyertaan mereka pada Pertandingan Golf Piala Tuan Yang Terutama (TYT) yang di-Pertua Negeri 750-7 yang akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini.

Golf Melaka 750-7 Golf Open edisi ke-7 yang akan disertai Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob ini merupakan acara tahunan kerajaan negeri dan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM200,000 kepada pemenang.

Pertandingan itu juga turut disertai peserta profesional dari luar negara seperti Indonesia, Brunei, Singapura, Jepun, Korea Selatan dan Thailand.

Apa yang menarik, acara cabutan bertuah pada pertandingan kali ini menyediakan 50 hadiah menarik termasuk tujuh hadiah utama berupa dua kereta Axia dan lima motosikal.

Sebanyak tiga sesi akan diadakan di empat lokasi secara serentak iaitu di Ayer Keroh Country Club (AKCC), A’Famosa Golf & Country Club (AGCC), Orna Golf & Country Club (OGCC) dan Tiara Golf Resort.

Langkah kerajaan negeri bersama EZ5 Entertaiment Sdn. Bhd. selaku pengurus acara pada pertandingan kali ini bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai pelancong untuk berkunjung serta bermalam di Melaka sempena tahun Melawat Melaka 2019 (TMM 2019).

 

CATEGORIES