Gempa bumi, tsunami Sulawesi tidak jejaskan pelancongan Melaka

Gempa bumi, tsunami Sulawesi tidak jejaskan pelancongan Melaka

GEMPA bumi dan tsunami yang melanda Kepulauan Sulawei tidak menjejaskan sektor pelancongan Melaka.

AYER KEROH 4 Okt. – Bencana tsunami dan gempa bumi yang melanda kepulauan Sulawesi, Indonesia tidak menjejaskan sektor pelancongan Melaka.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Muhamad Jailani Khamis berkata, rata-rata pengunjung dari negara jiran itu datang dari Pulau Jawa dan Sumatera.

Katanya, sektor pelancongan Melaka tidak terjejas, bahkan jumlah bilangan pelancong bertambah setiap tahun dengan anggaran 1.2 juta pelancong dari negara berkenaan tahun lalu.

“Kita tiada angka khusus untuk pelancong dari Indonesia tetapi saya tegaskan sektor pelancongan Melaka tidak terjejas dengan bencana yang berlaku.

“Kerana kebanyakan pengunjung Indonesia ke Melaka adalah dari kepulauan Jawa dan Sumatera,” katanya kepada MelakaKini (MK).

Muhamad Jailani berkata, kerajaan negeri kini sedang merangka pelan membangunkan infrastruktur bertemakan timur tengah bagi meningkatkan jumlah pelancong dari negara Arab yang semakin berkurangan.

“Mungkin, kelengkapan kita di Melaka agak kurang yang menjadi faktor kurangnya pengunjung dari negara berkenaan.

“Ini semua adalah usaha kita supaya Melaka mampu mencapai jumlah 20 juta pelancong seperti yang disasarkan tahun depan,” jelasnya.

Dalam usaha mencapai sasaran 20 juta pengunjung tahun depan, Melaka tekad memperkasakan kerjasama bersama negara-negara ASEAN.

“Melaka juga dalam rangka memperkasakan hubungan kekeluargaan bersama negara serantau,” katanya.

Sementara itu, berhubung bencana gempa bumi dan tsunami yang mengorban lebih 1,000 mangsa, Muhamad Jailani bercadang mewujudkan Tabung Bantuan Pelancong.

“Saya menzahirkan rasa dukacita terhadap semua mangsa kejadian, rancangan itu akan saya bincangkan bersam Ketua Menteri, Adly Zahari untuk menyalurkan bantuan,” katanya.

CATEGORIES
TAGS