Gandingan ibadah solat & ibadah zakat

Gandingan ibadah solat & ibadah zakat

ALLAH S.W.T telah mensyariatkan bahawa Ibadah Solat dan Ibadah Zakat adalah saling bergandingan sehingga terdapat 27 ayat dalam Al-Quran menggabungkan Ibadah Solat & Ibadah Zakat. Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Baqarah ayat 277 :

Yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mendirikan solat serta menunaikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka,dan mereka pula tidak akan berdukacita”.

Ibadah Solat adalah Rukun Islam yang kedua selepas mengucap dua kalimah syahadah manakala Ibadah Zakat adalah Rukun Islam yang ketiga. Oleh itu, solat adalah hak Allah S.W.T manakala zakat adalah hak Allah dan hak sesama hamba.

Selain itu, solat dan zakat adalah ibadah yang wajib ditunaikan malah menunaikan kedua-dua ibadah ini telah dibuat oleh nabi terdahulu sebagaimana firman Allah S.W.T dalam Surah Maryam ayat 55:

Yang bermaksud : “Dan Nabi Ismail A.S menyuruh keluarganya untuk mendirikan solat dan menunaikan zakat dan mereka adalah orang yang diredhai di sisi Tuhannya”.

Di samping itu, kedua-dua ibadah ini merupakan ciri-ciri orang yang beriman dan bertaqwa, kerana Allah S.W.T telah memberikan penegasan di dalam Surah Al-Baqarah ayat 177 :

Yang bermaksud : “Bukanlah menghadapkan wajahmu kearah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah S.W.T, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi, dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak yatim, orang miskin, musafir, ( yang memerlukan pertolongan) dan orang yang meminta dan memerdekakan hamba sahaya, mendirikan solat dan menunaikan zakat, dan orang yang menepati janjinya apabila membuat janji, dan orang yang sabar dalam kesempitan dan penderitaan akibat peperangan. Mereka itulah orang-orang yang beriman dan bertaqwa”.

Oleh yang demikian, Ibadah Solat merupakan tiang agama. Malah selaras dengan perintah zakat dan solat di atas kewajipan bagi setiap umat Islam yang beriman kepada Allah S.W.T sekaligus membawa makna bahawa zakat merupakan salah satu tiang agama juga. Hal ini kerana, Ibadah Solat dan Ibadah Zakat banyak terkandung dalam Al-Quran dan disebut bergandingan antara satu sama lain. Disamping itu, zakat mampu memperkukuh kehidupan masyarakat Islam sehingga meningkatkan taraf sosio ekonomi Islam ke arah lebih baik.

Ibadah Zakat menjadi ibadah amat penting dalam pembangunan masyarakat Islam. Ini kerana dapat menjamin kesejahteraan hidup masyarakat yang berkemampuan membantu mereka yang kurang berkemampuan.

Oleh itu, tidak dinafikan bahawa zakat dan solat tidak dapat dipisahkan. Salah satu akan pincang tanpa ada yang satu lagi menyebabkan ibadah kita lakukan kurang sempurna di sisi Allah S.W.T. Jika kita melakukan kedua-dua ibadah ini seiringan maka Allah S.W.T akan memberi ganjaran pahala yang besar di akhirat kelak. Ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T dalam Surah An-Nisa’ ayat 162 :

Yang bermaksud : “Tetapi orang-orang yang mendalam ilmunya di antara mereka dan orang-orang mukmin, mereka beriman kepada apa yang telah diturunkan kepadamu (Al Quran), dan apa yang telah diturunkan sebelummu dan orang-orang yang mendirikan solat, menunaikan zakat, dan yang beriman kepada Allah dan hari kemudian. Orang-orang itulah yang akan Kami berikan kepada mereka pahala yang besar”.

Justeru itu, kewajipan menunaikan zakat adalah sama penting dengan ibadah solat. Jika kita meninggalkan solat fardhu maka wajib qadha solat tersebut, ini selaras dengan pelunasan zakat tersebut jika kita meninggalkan atau tertangguh maka wajib qadha zakat tersebut. Sebagai manusia yang mengakui umat Islam marilah kita bersama-sama menunaikan kewajipan berzakat semoga dengan zakat kita tunaikan dapat membahagiakan golongan-golongan yang berada di bawah asnaf zakat.

CATEGORIES