Rumah Munshi Abdullah perlu diketengahkan

Rumah Munshi Abdullah perlu diketengahkan

BANDAR HILIR 2 Jan. – Rumah Munshi Abdullah terletak di Kampung Ketek perlu diketengahkan sebagai salah satu produk pelancongan negeri.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, rumah terbabit antara produk pelancongan kurang diketengahkan dan masih ramai pengunjung tidak tahu akan kewujudan rumah itu.

Beliau berkata, walaupun rumah itu terletak berhampiran Jonker Walk, namun ia seolah-olah suram dan tidak mendapat perhatian masyarakat.

“Sebenarnya rumah itu betul-betul berhampiran dengan Jonker Walk, justeru Pengerusi Pelancongan perlu tingkatkan lagi maklumat di rumah tersebut.

“Dengan adanya inisiatif sebegitu, kita dapat memberitahu kepada umum apa sebenarnya kediaman itu mahu sampaikan,” katanya.

Adly berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke tempat-tempat pelancongan Melaka di sekitar Melaka di sini, hari ini.

Ujarnya, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) juga perlu mainkan peranan bagi meningkatkan produk pelancongan tersebut.

“Kita mahu jadikan rumah ini sebagai satu tarikan untuk pelancong datang ke Melaka.

“Saya yakin, ramai masyarakat kenal akan sejarah Munshi Abdullah ini, tetapi ramai yang tidak tahu rumahnya di mana,” katanya.

Adly berkata, pengunjung yang datang ke Melaka punyai minat yang pelbagai termasuklah sejarah-sejarah yang ada.

“Kalau kita lihat orang yang datang ke Melaka punyai minat yang pelbagai, ada mahu melihat sejarah-sejarah, ada mahu berehat, ada orang yang cintakan seni dan lain-lain lagi,” katanya.

Hadir sama, Exco Kesihatan & Antidadah, Low Chee Leong; Pengurus Besar Tourism Melaka, Zairi Suboh dan lain-lain kenamaan.

2.04K Shares
CATEGORIES