Fokus kompetensi graduan dalam dunia pekerjaan : UTeM laksana program setahun latihan industri

Fokus kompetensi graduan dalam dunia pekerjaan : UTeM laksana program setahun latihan industri

DURIAN TUNGGAL 11 Feb. – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) komited menjana graduan berkompetensi tinggi dan memberi impak besar kepada sektor perindustrian dalam dan luar negara.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Prof. Datuk Dr. Mohd Razali Muhamad berkata, pihak universiti ini akan terus melaksanakan pelbagai strategi bersepadu bagi tujuan tersebut.

Katanya, antara agenda dilaksanakan UTeM ialah menerusi program yang diaspirasikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Iaitu gabungan program pengajian di universiti dan latihan industri jangka masa panjang dengan pihak industri.

UTeM melalui Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Pembuatan (FTKMP) menawarkan program baharu Mod Industri menerusi Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Penyejukan & Sistem Penyaman Udara (HVAC) dengan Kepujian.

Program Mod Industri ini mula ditawarkan bagi pengambilan kumpulan pelajar pertama yang akan memulakan pengajian bagi Semester 1 Sesi 2019/2020 yang akan dijalankan nanti.

Dekan FTKMP, Prof. Madya Dr. Umar Al-Amani Azlan berkata, tempoh pembelajaran di industri yang lebih lama akan memberi pelajar pendedahan lebih mendalam tentang pengalaman serta persekitaran dunia pekerjaan sebenar.

Jelasnya, konsep pelaksanaan tersebut memerlukan pelajar belajar di kampus selama tiga tahun dan praktikal menerusi latihan industri selama setahun dengan pihak industri.

Menurutnya, bagi memastikan tempat bagi pelajar Mod Industri HVAC ini, FTKMP telah menjalin hubungan bersama pihak industri seperti Prihoda Malaysia Sdn. Bhd. bagi memudahkan penempatan pelajar HVAC mereka.

Sehubungan itu, dua buah syarikat lagi dari sektor HVAC turut menyatakan hasrat bagi menjayakan program ini iaitu LTC Building Services Sdn. Bhd. Seri Kembangan, Expertise: HVAC Services and Maintenance serta ACSON Malaysia Sales & Service Sdn. Bhd.

Pengarah Prihoda, Lee Wee Pin melahirkan rasa gembira atas kerjasama dan yakin hubungan baik bersama UTeM.

Menurutnya, program ini turut memberi manfaat kepada kedua-dua pihak apabila industri memerlukan idea baharu dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Ianya bagi menambah baik lagi sistem sedia ada ke arah Revolusi Industri 4.0 di samping pelajar punyai tempat menjalani latihan industri dalam tempoh yang lama.

142 Shares
CATEGORIES