Festival Antarabangsa Sungai Melaka sasar sejuta pengunjung

Festival Antarabangsa Sungai Melaka sasar sejuta pengunjung

BANDARAYA MELAKA 5 Nov. – Melaka menyasarkan lebih sejuta pengunjung menghadiri ke Festival Antarabangsa Sungai Melaka 2018 edisi ke-12 yang akan berlangsung selama 11 hari bermula 22 November hingga 2 Disember 2018.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, berdasarkan kehadiran lebih 600,000 pengunjung tahun lalu, sambutan tahun ini dijangka lebih hebat.

Menurutnya, ini kerana ia diadakan pada musim cuti persekolahan membabitkan 24 acara termasuk tujuh darinya acara antarabangsa.

Katanya, signifikan penganjuran tersebut bertujuan mempromosikan Melaka di persada dunia itu turut melibatkan perarakan Bot Berhias yang akan menambah ceriakan lagi suasana Sungai Melaka dan memaparkan keunikan budaya masyarakat Negeri Melaka dari pelbagai etnik.

“Acara-acara lain yang turut mendapat sambutan hebat ialah ‘Remote Control Powerboat’, Pertandingan Perahu Naga, Marathon Antarabangsa Sungai Melaka, Pertandingan Mr. Body Beautiful, Majlis Persandingan dan Pernikahan Perdana serta persembahan Kebudayaan dan Kesenian Pelbagai Kaum,” katanya.

Adly berkata demikian pada sidang media sempena Festival Antarabangsa Sungai Melaka 2018 di Bandar Hilir, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Azlan Abidin dan Pengarah Tourism Melaka, Jefri Munir.

Adly berkata, sebuah pementasan sejarah epik Melaka dan Parameswara akan diadakan pada acara pembukaan festival itu pada 24 November ini dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob.

“Kita menjangkakan festival ini dihadiri Menteri Pelancongan, Seni & Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi,” katanya.

Sementara itu, Azlan berkata, PPSPM turut merancang menganjurkan festival pantai yang sudah hampir 30 tahun tidak diadakan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

“Kita dalam proses mengenal pasti dan sedang menubuhkan sebuah jawatankuasa kecil untuk melaksanakan (festival pantai),” katanya.

113 Shares
CATEGORIES

COMMENTS