Elak guna bahasa kesat ketika berdakwah

Elak guna bahasa kesat ketika berdakwah

AYER KEROH 11 Feb. – Pendakwah di negeri ini wajar menyampaikan hujah yang bersesuaian dan mengelak menggunakan bahasa kesat ketika berdakwah.

Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, pendakwah mesti berhemah ketika berdakwah dan perlu menggunakan hujah serta berdebat dengan cara baik dan sopan-santun.

Katanya, pendakwah yang sudah mempersiapkan diri dengan ilmu dan asas agama yang mantap akan dijadikan cerminan Islam untuk menarik lebih ramai saudara baharu.

“Dalam pada masa sama, dapat mengembangkan ajaran Islam ke mata dunia. Elakkan pertengkaran dan tidak menggunakan bahasa-bahasa kesat dan memaki hamun orang yang didakwah.

“Dengan hadirnya pendakwah dalam kalangan pelbagai kaum dan etnik, saya percaya mereka mampu menarik lebih ramai saudara baru untuk mendekati Islam.

“Ini kerana, sudah pasti hanya mereka yang mengetahui cara dan pendekatan yang paling sesuai untuk menyampaikan Islam kepada etnik mereka,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook.

Mengulas lanjut, Mohd Sofi yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri berkata, para da’i juga perlu bijak menggunakan pelbagai platform dalam mengharungi cabaran era moden.

Jelasnya, terdapat pelbagai platform dan kaedah untuk menjalankan kerja-kerja dakwah kerana ia tidak terhad kepada tempat dan golongan tertentu sahaja.

“Dakwah juga tidak terbatas kepada cara tradisi sahaja, tetapi mesti mengikut peredaran masa dan teknologi terkini.

“Pendakwah mesti menggunakan segenap medium (media sosial misalnya) supaya ia mudah diterima masyarakat,” katanya.

Oleh: FUAD RAMDAN

CATEGORIES