Ekspo Selangkah ke UiTM pada 23, 24 Mac ini

Ekspo Selangkah ke UiTM pada 23, 24 Mac ini

BANDARAYA MELAKA 14 Mac – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka akan menganjurkan Ekspo Selangkah Ke UiTM di Tingkat 9 dan 10, UiTM Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka, Jalan Hang Tuah, pada 23 dan 24 Mac ini.

Ekspo yang bermula dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang itu bertujuan memberi khidmat nasihat dan kaunseling kerjaya kepada calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf yang ingin meneruskan pengajian di UiTM.

Penyelaras, Unit Komunikasi Korporat, UiTM Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka, Nur Hidayah Zaini berkata, ekspo itu menjadi platform penting dalam memberi gambaran yang jelas mengenai sesuatu program terutama berkaitan peluang kerjaya setelah menamatkan pengajian.

Menurutnya, pada program itu, pelajar akan dibimbing untuk membuat pilihan bersesuaian dengan minat, keputusan peperiksaan yang mereka miliki serta syarat-syarat kemasukan sesuatu program akademik yang ditawarkan.

“Ibu bapa juga berpeluang mengetahui bidang-bidang pengajian terkini seterusnya dapat menasihati anak-anak mereka dalam membuat pilihan program yang tepat.

“Bakal calon dinasihatkan agar menyediakan salinan keputusan peperiksaan, kad pengenalan dan sijil berkaitan dan dokumen-dokumen ini adalah sangat penting bagi membantu calon-calon mengenal pasti program-program UiTM yang sesuai untuk melanjutkan pelajaran,” katanya.

Nur Hidayah berkata, ekspo itu turut memberi peluang kepada calon-calon yang kurang kelayakan dan kurang kemampuan untuk menyambung pelajaran di bawah satu lagi program UiTM iaitu “Mengubah Destini AnakBangsa”.

Katanya, program itu ditubuhkan semata-mata untuk membantu khususnya Melayu, Bumiputera, Orang Asli dan anak-anak negeri yang tidak mendapat tempat di universiti kerana tidak mencukupi kredit.

“UiTM menawarkan program berdasarkan kelayakan pelajar sama ada ke program Pra Perdagangan atau Pra Sains. Ibu bapa juga boleh melayari sistem Selangkah menerusi www.selangkah.uitm.edu.my bagi menyemak kelayakan program anak-anak sebagai rujukan sebelum membuat pilihan pengajian.

“Oleh itu kepada pelajar lepasan SPM dan STPM serta setaraf dengannya jangan lupa untuk berkunjung ke “Ekspo Selangkah Ke UiTM” di UiTM Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang kursus pengajian yang disediakan dan mengetahui bagaimana cara untuk memohon masuk,” katanya.

Mereka yang ingin mendapatkan pelbagai maklumat tentang program dan fakulti-fakulti berkaitan, boleh menghubungi Nur Hidayah ditalian 06-2857096 / 019-3511503.

Oleh MUHAMMAD ZAIDEE DAUT

CATEGORIES