CHANEL 2.0 bantu  gelandangan Villa Harapan

CHANEL 2.0 bantu gelandangan Villa Harapan

DUYONG 5 Dis. – Kira-kira 100 pelajar dan pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka mengadakan lawatan ke Pertubuhan Kebajikan Villa Harapan sebagai misi membantu gelandangan di kawasan itu.

Rektor UiTM Melaka, Prof. Madya Datuk Sabariah Mahat berkata, misi itu merupakan sebuah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran Fakulti Pengurusan Perniagaan kampus terbabit dengan mengutip dana bagi membantu penghuni Villa Harapan.

Katanya, program Charity & Endless Love ‘Aloha Ohana’ (CHANEL 2.0) dikendalikan pelajar semester 4 itu diadakan sebagai menerapkan nilai kerohanian terhadap masyarakat sekeliling.

“Penganjuran ini sekali gus dapat menyemai nilai-nilai murni, malah ia turut mengeratkan hubungan antara semua pihak.

“Syabas kepada semua warga UiTM setelah berhempas pulas mencari dana membantu golongan gelandangan yang seharusnya diberikan kebajikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Charity & Endless Love ‘Aloha Ohana’ (CHANEL 2.0) di Villa Harapan di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pusat Pengajian, Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Alor Gajah, Dr. Ahmad Fadhly Arham; Koordinator Fakulti Pengurusan Perniagaan, Maz Izuan Mazalan serta tetamu lain.

Pada program itu, UiTM Melaka telah menyumbang pelbagai barangan keperluan termasuk beras, lampin dewasa, peralatan mandi dan sebagainya yang menelan belanja sebanyak RM8,000.

CATEGORIES