Cetus pemikiran kreatif pelajar berkemahiran

Cetus pemikiran kreatif pelajar berkemahiran

BUKIT SERINDIT 9 Nov. – Pertandingan Robot Olympics Malaysia 2018 anjuran Fakulti Teknologi Maklumat & Komunikasi (FTMK) Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM) mampu cetuskan pemikiran kreatif pelajar berkemahiran menjelang abad ke-21.

Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa UTeM, Prof Datuk Dr. Mohd Razali Muhamad berkata, program itu mampu memberi galakan pelajar dalam penguasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Katanya, pengusaan STEM harus diberi perhatian oleh kerajaan bagi menarik lebih ramai generasi muda berkemahiran tinggi terhadap sains dan teknologi.

Menurutnya, pendekatan STEM mampu bergerak selari dengan usaha kerajaan mentransformasikan sistem pendidikan berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

“Diharap pertandingan ini dapat membina modal insan yang lebih kompeten dalam menyahut cabaran kompleks menjelang abad ke-21.

“Melalui pertandingan berteraskan robotik ini, ia mampu membentuk pelajar cemerlang, kreatif dan inovatif, malah membantu proses pembelajaran agar pelajar mampu membentuk sifat daya saing yang bermanfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib, semalam.

Hadir sama, Ketua Menteri, Adly Zahari dan Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Abu Bakar sahari.

Sementara itu, Adly berkata, penganjuran pertandingan itu merupakan salah satu strategi bagi melahirkan saintis dan jurutera yang mampu bersaing ke peringkat antarabangsa.

Ujarnya, pelajar kreatif mampu mencipta idea baharu, malah boleh menghasilkan produk yang menarik kerana punyai sifat daya cipta terhadap sesuatu.

“Kreativiti seperti ini penting untuk dimanfaatkan pada masa akan datang kerana ianya ciri yang diperlukan syarikat-syarikat multinasional menjelang alam pekerjaan,” katanya.

Pertandingan Robot Olympics Malaysia 2018 pada peringkat kebangsaan itu diadakan melalui kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yok Bin.

Sebanyak 17 buah sekolah kebangsaan dan 35 sekolah menengah membabitkan beberapa negeri iaitu Melaka, Sarawak, Perak, Johor dan Pahang yang menyertai pertandingan itu selama sehari.

CATEGORIES

COMMENTS