Bungkusan kad disangka ‘bom’

Bungkusan kad disangka ‘bom’

AFZANIZAR menunjukkan contoh kertas digunakan pelanggan untuk membuka akaun bank yang disangka ‘bom’ di Balai Polis Ayer Keroh, sebentar tadi.

 

AYER KEROH 18 Sept. – Unit Persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka memusnahkan bungkusan misteri disangka mengandungi bahan letupan di Jalan Tasik Utama 2, petang ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya telah dimaklumkan penemuan satu objek beg kertas berwarna biru mengandungi kandungan tidak pasti dibungkus rapi pada jam 12.05 tengah hari.

Katanya, bungkusan itu dibawa seorang pengurus operasi sebuah bank di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) yang sangsi terhadap kandungan barangan berkenaan sebelum bertindak membawanya ke balai untuk pengesahan.

Jelasnya, bungkusan yang ditinggalkan seorang wanita sejak 16 September lalu di celah mesin deposit tunai, kemudiannya dimusnahkan oleh Unit Persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada jam 1.40 petang.

“Tindakan telah diambil oleh Unit Persenjataan IPK Melaka menggunakan peralatan ‘semi-remote pigstick’.

“Hasil dari tindakan diambil, kita mendapati kandungan misteri itu mengandungi kad digunakan pelanggan untuk membuka akaun bank dianggarkan sebanyak 300 keping,” katanya.

Sehubungan itu, pihak polis telah membuka kertas inkuiri untuk mengenal pasti motif untuk mengenal pasti sama ada wujud perbuatan jenayah atau tidak.

CATEGORIES