Bomba nasihatkan ERT jalani latihan hadapi gempa bumi

Bomba nasihatkan ERT jalani latihan hadapi gempa bumi

TANJUNG KLING 6 Dis. – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka menasihatkan ahli Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) di jabatan kerajaan dan swasta menjalani latihan taktikal.

Latihan tersebut bagi menyelamatkan mangsa gempa bumi sebagai langkah berjaga-jaga

Timbalan Pengarahnya, Ahmad Zaidi Safuan berkata, latihan melibatkan bencana alam itu yang kurang dipraktikkan dalam kalangan ahli ERT dalam pelbagai sektor perlu diperkasa.

Menurutnya, ianya dengan mengambil iktibar kejadian gempa yang berlaku di Sulawesi, Jakarta, Indonesia hingga meragut ribuan nyawa.

Katanya, walaupun Malaysia berada di luar zon Lingkaran Api Pasifik paling aktif, namun menurut kajian di Amerika Syarikat, lingkaran itu makin berkembang dan tempias berhubung gegaran gempa di negara jiran mampu mencetuskan insiden kecemasan.

“Majoriti termasuk agensi awam dan swasta masih belum mempraktikkan perkara ini, kerana bagi mereka penumpuan utama ERT adalah memadamkan kebakaran.

“Tetapi, mereka perlu ingat, kejadian yang tidak boleh diramal juga boleh berlaku seperti terjadi di Sulawesi apabila majoriti kawasannya lumpuh.

“Namun, ia boleh diminimakan, jika ahli ERT jalani latihan menyelamatkan mangsa dan mengeluarkan sisa runtuhan sebelum pasukan kecemasan tiba,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada MiMinggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar di stesen janakuasa elektrik, Pahlawan Power Sdn. Bhd di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus stesen itu, Calvin Low Choo Kian dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Penolong Penguasa Bomba Roslan Abd. Jalil.

Ahmad Zaidi berkata, JBPM Melaka sentiasa pantau perkembangan latihan yang perlu diterapkan kepada ahli ERT dengan melakukan pelbagai kerjasama bersama agensi berminat.

“JBPM sentiasa berusaha pertingkatkan kerjasama dengan premis dan agensi terlibat, jika mereka menjalani kursus yang diberikan, elemen itu akan diterapkan sekali demi keselamatan.

“Dan meluaskan skop penyelamatan ERT yang kini hanya memberi tumpuan terhadap cara menangani kebakaran,” katanya.

CATEGORIES