Biru muda warna baharu uniform penguatkuasa PBT

Biru muda warna baharu uniform penguatkuasa PBT

AYER KEROH 7 Mac – Kerajaan negeri bercadang untuk menukar warna pakaian seragam anggota penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri ini kepada biru muda bagi menggantikan warna biru gelap yang digunakan ketika ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, penukaran warna pakaian seragam itu akan dijalankan tahun ini supaya orang awam mudah untuk membezakan penguatkuasa PBT dengan anggota unit beruniform lain yang menjalankan tugas.

Katanya, langkah itu juga selari dengan kod warna ditetapkan badan penguatkuasa antarabangsa malah telah mula digunakan di beberapa PBT negeri lain antaranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan PBT di Johor.

“Kesemua PBT seluruh Melaka terlibat dengan penyeragaman warna uniform ini dan hanya dibezakan oleh logo jabatan sahaja bagi menggelakkan kekeliruan orang awam kerana warna ketika ini turut digunakan pada uniform anggota polis, imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan lain-lain.

“Penukaran itu turut dilaksana supaya ia memberikan imej lebih baik kepada PBT di negeri ini dalam melaksanakan perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Seri Negeri, sebentar tadi.

Adly berkata, bagaimanapun tiada pertambahan kos melibatkan penukaran warna itu kerana ia menggunakan bajet tahunan sedia ada.

“Kerajaan negeri ketika ini sedang membuat beberapa dasar termasuk kajian kos dan perlaksanaan proses tender terhadap penyeragaman warna itu,” katanya.

425 Shares
CATEGORIES
TAGS