Belanjawan 2019 : 11  sektor diberi keutamaan

Belanjawan 2019 : 11 sektor diberi keutamaan

AYER KEROH 9 Nov. – Sebanyak 11 sektor diberi keutamaan pada Belanjawan 2019 Negeri Melaka bertemakan ‘Mengembalikan Kewibawaan Melaka dan Mensejahterakan Rakyat’.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, 11 sektor yang akan diberi fokus utama, antaranya kemudahan infrastruktur, pelancongan, perumahan untuk rakyat, sektor pembuatan, pelaburan melalui kaedah penswastaan, pertanian, pendidikan, teknologi maklumat, pensijilan halal dan penambah baik skim pemberian insentif kepada sektor sukan.

Katanya, pada masa sama, kerajaan negeri juga berusaha meningkatkan tahap keselamatan di peringkat negeri.
Menurutnya, pihaknya juga akan cuba memulihkan ekonomi negeri dengan mencari strategi untuk membayar hutang sebelum ini sebanyak RM1.8 bilion.

“Antaranya, menggunakan aset sedia ada dengan kerjasama kerajaan Persekutuan kita boleh memajukan aset ini dan hasilnya digunakan untuk pembayaran hutang.

“Saya yakin, walaupun kita merangka bajet untuk tahun depan, cabaran paling besar adalah untuk terus memacu ekonomi negeri dan memulangkan ia kepada rakyat akhirnya,” katanya.

Adly berkata demikian pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan 2019 Negeri Melaka bertemakan ‘Mengembalikan Kewibawaan Melaka dan Mensejahterakan Rakyat’ pada Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Pertama, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Dewan Seri Negeri di sini, hari ini.

Jumlah belanjawan yang disediakan pada tahun depan itu turut menyaksikan peningkatan peruntukan kira-kira 2.76 peratus berbanding belanjawan tahun lalu berjumlah RM373.95 juta.

Jelas Adly, ekonomi Melaka berada dalam keadaan memberangsangkan dengan kadar pertumbuhan 8.1 peratus iaitu kedua tertinggi selepas Negeri Sabah.

Ujarnya, perkara ini merangsang peningkatan pendapatan per kapita iaitu RM46,015 berbanding RM41,379 bagi tahun 2016 dengan nilai pertumbuhan ekonomi sejumlah RM35.9 bilion,” ujarnya.

268 Shares
CATEGORIES

COMMENTS