Bayaran saman kurang 50%, pesalah trafik serbu MITC

Bayaran saman kurang 50%, pesalah trafik serbu MITC

AYER KEROH 11 Jan. – Sambutan orang ramai terutama mereka yang punyai saman trafik untuk membuat bayaran di kaunter trafik yang dibuka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) hari ini, amat menggalakkan.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Negeri, ASP. K. Mahadevan berkata, orang ramai telah datang seawal jam 7 pagi lagi walaupun kaunter trafik dibuka pada jam 8.30 pagi.

“Kauntar bayaran saman trafik ini dibuka pada Pameran Lori Pengangkutan sempena Ulang Tahun Ke-5 Persatuan Pemilik Lori Tipper Dumper & Simen Mixer Melaka.

“Kita beri pengurangan 50 peratus bayaran kompaun saman bagi kesalahan trafik, bagaimanapun terdapat beberapa saman yang tidak boleh dikurangkan.

“Antaranya, saman melibatkan kemalangan tahun semasa, saman berstatus ‘no compoundable’ (NC), saman berstatus waran tahun semasa dan saman perbicaraan.

“Selain saman dalam perbicaraan, saman Ops Selamat tahun semasa dan saman berstatus mahkamah dan saman berkaitan lori juga tidak boleh dikurangkan kompaun,” jelasnya kepada media ketika ditemui.

Mahadevan berkata, polis akan membuka kaunter pengurangan bayaran saman sekiranya mendapat permohonan dari mana-mana Badan Bukan Kerajaan (NGO) dua minggu lebih awal sekiranya mereka mengadakan program-program melibatkan kemasyarakatan.

“Bagaimanapun, kelulusannya bergantung kepada kebenaran Pengurusan Tertinggi Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan kelulusan Ketua Polis Melaka,” jelasnya.

CATEGORIES