Asam pedas ‘Lobster’ & Raja Ketam lain dari yang lain

Asam pedas ‘Lobster’ & Raja Ketam lain dari yang lain

ARHAM menunjukkan sebahagian juadah yang disediakan di Restoran Asam Pedas Lagenda.

BANDARAYA MELAKA 5 Ogos – Usahawan muda, Arham Syafiq Azmi, 30, tekad mengusahakan Restoran Asam Pedas Lagenda terletak berhadapan Aeon Bandaraya Melaka.

Restoran itu baru beroperasi lebih enam bulan lalu meskipun bukanlah anak kelahiran Negeri Melaka.

Katanya, walau berasal dari utara tanah air yang tidak mesra asam pedas pada awalnya, namun dia melihat dari sudut positif membangunkan perniagaan berasaskan masakan asam pedas yang cukup terkenal di negeri ini.

Menurutnya, demi mencipta kelainan dari masakan asam pedas di kebanyakan restoran di negeri ini, Asam Pedas Lagenda menawarkan hidangan lain dari yang lain dan luar biasa iaitu asam pedas lobster dan juga asam pedas raja ketam.

“Orang biasa makan asam pedas ikan, ayam dan juga telur ikan, tapi di sini saya cuba mengolah masakan barat iaitu lobster dan diMelayukan, namun masih kekalkan identiti itu, maka jadilah asam pedas ini. Alhamdulillah permintaan sangat menggalakkan.

“Selain itu, kami turut menyediakan masakan asam pedas raja ketam yang mana pelanggan perlu menempah terlebih dulu memandangkan harganya yang agak tinggi,” katanya kepada MelakaKini.

Menurut lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuteraan Mekanikal dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) selain perkenalkan asam pedas, restoran tersebut turut menyediakan masakan Melayu dan juga hidangan laut secara ‘shellout’ pada harga berpatutan dengan serendah RM12.

Menceritakan idea bagi mencipta resepi itu (asam pedas lobster), Arham berkata, pelbagai ikhtiar termasuk beberapa kali menukar chef terpaksa dilakukan bagi memberikan rasa terbaik kepada pelanggan.

“Saya tak mahu rasa tangkap muat saja, sebab bagi saya apa yang membezakan asam pedas itu adalah rasanya yang padu. Jadi, ia (asam pedas lobster) hasil melalui RnD dengan beberapa chef terkenal di negeri ini.

“Kerana tidak semua yang pandai dalam masakan asam pedas ini tahu untuk mengolah kepada yang lain.
“Alhamdulillah setelah melalui beberapa saringan sehingga kami berpuas hati, seorang chef berjaya ‘menjadikan’ resipi ini,” katanya.

Arham yang menerima pembiayaan dari Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), nekad ‘lari bidang’ dan mahu mengetegahkan masakan asam pedas seterusnya mengangkat masakan tersebut menjadi gazet pelancongan di negeri ini.

Restoran yang terletak di tengah-tengah bandar itu boleh dikunjungi setiap hari bermula jam 11 pagi sehingga 12 tengah malam.

Orang ramai juga boleh mendapatkan info lanjut dan sebarang tempahan di laman sosial Facebook Asam Pedas Lagenda dan talian 06-288 8844.

CATEGORIES