APAKAH SEBAB ALLAH S.W.T MENURUNKAN BENCANA?

APAKAH SEBAB ALLAH S.W.T MENURUNKAN BENCANA?

KEBELAKANGAN ini banyak peristiwa yang telah terjadi apabila turunnya bencana dan musibah daripada Allah S.W.T. Hal ini merupakan amaran dan teguran daripada Allah S.W.T ke atas makhluknya yang melanggar perintah Allah S.W.T. dan melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T. Antaranya kejadian yang terbaru adalah tragedi gempa bumi dan tsunami di Palu, Sulawesi Tengah yang telah mengorbankan ratusan nyawa dan kerosakan serta kemusnahan harta benda di sana.

Oleh yang demikian, persoalannya adakah penyebab utama bencana yang berlaku ini ada kaitannya dengan pelakuan maksiat yang berleluasa? Sejak zaman Rasulullah s.a.w telah berpesan kepada umatnya bahawa melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran ‘Amar Ma’ruf, Nahl Mungkar’. Dan juga firman Allah S.W.T. telah dinyatakan di dalam Surah Al-Baqarah ayat 195 :

Yang bermaksud : “Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah S.W.T, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah S.W.T. menyukai orang-orang yang berbuat baik.”

Mengenai keterangan ayat diatas menunjukkan bahawa kita sebagai hamba Allah S.W.T. perlulah mengelakkan diri kepada kemungkaran dan kemaksiatan yang membawa kepada dosa kecil ataupun dosa besar. Sebagai contoh meninggalkan solat, enggan mengeluarkan zakat, meninggalkan ibadah puasa, bermusuh antara satu sama lain, menipu dalam perniagaan, melakukan maksiat dan sebagainya. Ini telah berlaku kejadian maksiat yang berleluasa di Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia sebelum terjadinya tragedi gempa bumi dan tsunami. Maka Allah S.W.T. telah menurunkan bala dan bencana ke atas tempat tersebut sebagai peringatan kepada makhluknya agar melakukan kebaikan di dunia mahupun di akhirat.

Namun begitu, sepertimana kisah-kisah nabi yang terdahulu dimana Nabi Luth a.s. kaumnya yang melakukan pasangan hubungan sejenis telah ditenggelamkan dalam perut bumi oleh Allah S.W.T, Nabi Nuh a.s. kaumnya mendustakan dan menghina Nabi Nuh a.s, lalu Allah S.W.T mendatangkan banjir besar kemudian menenggelamkan mereka yang ingkar, Nabi Syu’ib a.s. kaumnya suka melakukan penipuan dalam perdagangan. Apabila membeli mereka meminta lebih untuk membayarnya dan apabila menjualnya mereka mengurangi bayarannya. Maka Allah S.W.T. telah mengazabkan mereka dengan cuaca panas yang bersangatan dan akhirnya mereka binasa.

Disamping itu, sesetengah masyarakat memandang bahawa bencana dan musibah yang melanda di bumi ini adalah disebabkan pemanasan global, pencairan ais di kutub, penipisan lapisan ozon, pencemaran dan lain-lain lagi. Bukannya disebabkan kepada pelakuan maksiat yang berleluasa. Ini adalah pemikiran dari sudut sains dan individu yang percaya terhadap perkara-perkara yang melibatkan mata kasar sahaja. Tetapi dari sudut pandangan cendekiawan dan agamawan adalah dari pelakuan maksiat yang berleluasa. Hal ini kerana, Allah S.W.T sentiasa memberi peringatan tentang kekuasaan dan kebesarannya sekaligus memberi kesedaran kepada kita iaitu bencana alam seperti banjir besar, tanah runtuh, gempa bumi dan sebagainya. Ini bertepatan firman Allah S.W.T. dalam Surah At-Taghabun ayat 11 :

Yang bermaksud : “Tidak ada suatu musibah yang menimpa (seseorang), kecuali dengan izin Allah S.W.T; dan barang siapa beriman kepada Allah S.W.T, nescaya Allah S.W.T akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah S.W.T Maha Menge­tahui segala sesuatu.”  

Sehubungan dengan itu, haruslah perbanyakkan berdoa kepada Allah S.W.T. agar ujian yang diturunkannya seperti gempa bumi, tsunami, ribut taufan dan sebagainya adalah ujian yang membuka hati kita untuk terus beriman ke­pada-Nya dalam setiap jarak dalam kehidupan kita. Justeru itu, janganlah sesekali bergantung kepada perkara khurafat atau kepercayaan karut berkaitan dengan bencana alam ini kerana ia boleh memesongkan akidah kita.

Oleh yang demikian, sesungguhnya tiada Tuhan yang lebih berkuasa dalam menentukan segala-galanya selain dari Allah S.W.T. Dalam masa sama, kita juga terus berdoa agar mereka yang ditimpa musibah dan ujian bencana alam ini terutamanya saudara seagama kita diberikan perlindungan sebaiknya. Semoga semua mangsa yang masih hidup dan ahli keluarga mangsa yang menerima ujian ini diberikan kekuatan dan kecekalan hati dalam meneruskan saki baki kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang. In Sha Allah.

CATEGORIES
TAGS