Amanat pesara buat Adly

Amanat pesara buat Adly

BANDARAYA MELAKA 5 Dis. – Bekas Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Khamis Abas mengharapkan Ketua Menteri, Adly Zahari memberikan tumpuan terhadap usaha memperkasa dan melindungi warisan dondang sayang.

Dondang sayang merupakan seni muzik berasal dari Melaka dan telah diiktirafkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) Mauritius pada 29 November lalu.

Khamis berkata, usaha mempergiatkan warisan itu juga merupakan tanggungjawab semua rakyat Melaka terutama penjawat awam bagi membantu Adly menghidupkan ‘roh’ seni itu dalam kalangan generasi muda.

“Hampir 15 tahun kita berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan UNESCO terhadap dondang sayang.

“Masa saya telah selesai, jadi saya harapkan Ketua Menteri meletakkannya dalam perhatian kerajaan negeri.

“Namun, ia bukan tugas seorang, tetapi perlu dibantu bersama Exco dan penjawat awam supaya kecemerlangan dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan Pesara Perkhidmatan Awam Negeri Melaka tahun 2018 di Hotel Equatorial di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Khamis turut menasihatkan Adly agar memberi perhatian terhadap kemajuan di kawasan daerah Alor Gajah dan Jasin.

“Melaka berdepan cabaran besar sebab kita pernah isytiharkan negeri maju pada 2010.

“Cabaran sekarang adalah bagaimana nak kekalkan status ini, bukan setakat maju di Bandar Melaka, tetapi juga di Alor Gajah dan Jasin.

“Jadi, saya harap bahawa semua yang ada termasuk barisan Exco, Speaker dan Unit Pemerkasaan Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka bantu Adly seperti yang kami (pesara) lakukan,” katanya.

Semalam, Khamis yang merupakan sebahagian dari lebih 70 pesara perkhidmatan awam telah diraikan.

CATEGORIES