Akta Hasutan bakal dibangkitkan melalui 3 syarat – Gobind Singh

Akta Hasutan bakal dibangkitkan melalui 3 syarat – Gobind Singh

KUALA LUMPUR 3 Dis. – Kerajaan akan menggunakan semula beberapa akta yang kini dalam penggantungan (moratorium) sekiranya terdapat kesalahan berunsurkan ancaman, sekali gus menggugat keselamatan negara.

Menerusi laporan akhbar, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, akta itu akan diguna pakai semula jika tiga unsur ancaman melibatkan keselamatan negara, orang awam dan mencetuskan ketegangan kaum.

Katanya, beberapa akta masih dalam moratorium meliputi Akta Hasutan 1948, Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 (Akta 747), Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan Akta Pencegahan jenayah 1959 (POCA).

Ujarnya, perlaksanaan akta tersebut telah dipersetujui jemaah menteri ketika mesyuarat Kabinet, Jumaat lalu.

Jelasnya, cadangan pindaan akta berkenaan masih dalam proses dan akan diumumkan apabila kerajaan selesai merangka dasar baharu.

“Jumaat lalu, jemaah menteri sudah berbincang dan keputusan ini dipersetujui, akta dalam moratorium ini akan diguna pakai bagi tiga unsur kesalahan khas.

“Penggunaan akta dalam moratorium ini akan diteruskan buat masa ini dan pindaan itu dalam proses,” katanya selepas merasmikan Persidangan Pembangunan Strategi Keselamatan Siber Kebangsaan di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa kerajaan bersetuju menggunakan akta dalam moratorium membabitkan isu kontroversi rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, di USJ 25, Subang Jaya, baru-baru ini.

CATEGORIES