927 kes syariah dicatat tahun 2018

927 kes syariah dicatat tahun 2018

BUKIT PALAH 11 Feb. – Kes kesalahan syariah di Melaka tahun lalu mencatat penurunan berbanding 2016 dan 2017.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Rahimin Bani berkata, rekod kesalahan jenayah syariah direkodkan pada 2016 sebanyak 1,611, tahun 2017 1,132 dan
tahun 2018 sejumlah 927 kes.

Menurutnya, bagi daerah Melaka Tengah kesalahan dicatatkan sebanyak 1,286 bagi tahun 2016, 851 bagi tahun 2017 dan 562 bagi tahun 2018.

“Jenayah syariah tertinggi melibatkan Seksyen 53 iaitu bersekediaman tanpa nikah yang mencatatkan 444 kes bagi
tahun 2016, 262 pada 2017 dan 223 kes bagi tahun 2018.

“Bagi kesalahan Seksyen 54 iaitu hamil atau melahirkan anak luar nikah, sebanyak 127 kes dicatatkan pada tahun 2016, 140 pada tahun 2017 dan 90 kes pada tahun 2018.

“Manakala bagi kes Subahat Persetubuhan Haram Seksyen 55
sejumlah 109 kes dicatatkan pada 2016, 101 pada 2017 dan 44 tahun 2018,” katanya kepada MelakaKini.

Sementara bagi kes Lelaki Berlagak Seperti Perempuan (Seksyen 72), sembilan kesalahan direkodkan pada tahun 2016, tiga kes tahun 2017 dan lima kes pada tahun 2018.

“Bagi kes judi pula, sebanyak 218 kes pada tahun 2016, 97 pada 2017 dan 42 pada tahun 2018.

“Turut dicatatkan sebanyak 29 kes perjudian sepanjang Januari tahun ini,” katanya.

Bagi membanteras pelbagai kes syariah di negeri ini, JAIM komited membuat pantauan dan penguatkuasaan undang-undang berdasarkan Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

Sehubungan itu, Rahimin meminta orang awam yang punyai maklumat dan aduan mengenai kes syariah terus melaporkan
kepada pegawai syarak, penguat kuasa agama dan polis.

“Selain kes syariah disebutkan, kes ajaran dan fahaman sesat yang sedang berleluasa kini turut diberi penekanan serius,” katanya.

Rahimin bagaimanapun, menasihati orang ramai terutama umat Islam supaya peka terhadap kes-kes seumpama ini.

“Pemimpin masyarakat dan keluarga juga mesti memainkan peranan dalam membuat pencegahan awal kegiatan maksiat dan mungkar di tempat masing-masing,” katanya.

CATEGORIES