84 mangsa banjir  DUN Machap Jaya terima bantuan

84 mangsa banjir DUN Machap Jaya terima bantuan

GADEK 7 Dis. – Seramai 84 mangsa banjir di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya menerima sumbangan dari beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Antara NGO di negeri ini yang prihatin membantu mangsa banjir yang berlaku baru-baru ini, adalah Kelab Lions Tanjung Bidara, Kelab Lions Melaka Raya, Kelab Lions Hang Tuah Jaya, Kelab Lions Ayer Keroh dan Kelab Lions Melaka.

Badan NGO lain yang terlibat terdiri, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Negeri Melaka, Pertubuhan Kebajikan Bacang Melaka dan Angkatan Muda Keadilan Cabang Kota Melaka.

Selain bantuan makanan, sumbangan wang tunai turut diserahkan untuk membaiki rumah-rumah mangsa yang rosak akibat bencana alam itu.

Hadir menyaksikan majlis penyerahkan sumbangan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya yang juga Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan, Ginie Lim Siew Lin dalam majlis yang diadakan di Balai Raya Kampung Ganun, Ahad lalu.

Berucap pada majlis itu, Ginie mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Kelab Lions dan memuji usaha NGO terbabit atas komitmen dan dedikasi mereka.

“Hasrat kerajaan negeri bukan saja mencari penyelesaian sementara membantu mangsa-mangsa terlibat, malah akan berusaha menyelesaikan pemasalahan bencana alam itu di daerah Alor Gajah dalam masa terdekat,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Lions Antarabangsa District 308-B1 Wilayah 7, Au Siang Yew berharap sumbangan itu dapat meringankan beban mangsa terlibat.

“Kelab Lion sentiasa prihatin dengan apa yang berlaku dan sedia membantu mereka mengikut kemampuan, selaras dengan slogannya, Kelab Lion Apabila Ada Keperluan, Di situ Ada Lions’.

“Terima kasih kepada Kelab Lions Daerah Antarabangsa 308-B1 atas peruntukan disalurkan dan sumbangan ini akan menguatkan usaha mereka membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

CATEGORIES