50 peserta ikuti hafazan al-Quran

50 peserta ikuti hafazan al-Quran

PAYA RUMPUT 3 Dis. – Seramai 50 peserta menyertai Bengkel Hafazan al-Quran Aras Tinggi bagi memanfaatkan musim cuti persekolahan ini.

Program anjuran Nadi Al-Bagdadi Centre (NAC) itu melibatkan peserta berusia tujuh hingga 16 tahun.

Pengarah Program, Mohd Rizal Rokman berkata, hafazan itu menggunakan konsep neurofisologi yang mengamalkan kaedah hafazan ayat secara menaik, menurun dan rawak.

Menurutnya, kaedah tersebut sesuai digunakan kerana ia dapat mengukuhkan lagi hafazan seseorang.

Katanya, jika dilihat, kebanyakan hafazan gunakan kaedah ‘talaqi’, tapi bengkel ini menggunakan pelbagai kaedah supaya murid lebih cepat menghafal.

“Dengan kaedah ini, ia dapat mengaktifkan otak kiri dan kanan peserta tanpa sedar. Ini akan menjadikan hafazan seseorang pelajar lebih efisien dan bertahan jika sering diamalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada penutupan Bengkel Hafazan Al-Quran Aras Tinggi di Surau Ar-Raudhah, Taman Paya Rumput Perdana di sini, baru-baru ini.

Katanya, anak-anak perlu dilatih seawal usia tersebut bagi memastikan mereka punyai daya ingatan yang kuat dalam hafazan surah al-Quran.

“Dengan menggunakan kaedah ini, hafazan tersebut bukan menjadi perkara yang sukar, malah lebih menyeronokkan.

“Kali ini peserta menghafal surah al-shams dan surah al-luqman, diharap program seperti ini dapat diteruskan kerana banyak manfaat boleh diperolehi,” katanya.

Ujarnya, kaedah hafazan juga boleh diterapkan dalam pembelajaran harian peserta di sekolah kerana sesuai dengan semua subjek yang dipelajari.

CATEGORIES