2 pelayar warga asing nyaris maut di perairan Selat Melaka

2 pelayar warga asing nyaris maut di perairan Selat Melaka

KUALA LINGGI 9 Mac – Dua pelayar warga asing nyaris maut di perairan Selat Melaka selepas bot layar terbabit hampir karam diselamatkan Pasukan Maritim Melaka dan Negeri Sembilan (Maritim Malaysia) di Pulau Undan, pagi tadi. 

Difahamkan, dalam kejadian jam 3.35 pagi tadi, bot layar terbabit dipercayai hampir karam selepas melanggar objek bawah air di perairan tersebut. 

Pengarah Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Amran Daud berkata, pihaknya menerima panggilan dari Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) di Lumut, Perak yang memaklumkan isyarat kecemasan mengenai sebuah bot layar hampir terbalik di kedudukan 0.1 Batu Nautika dari pulau terbabit. 

Katanya, kedua pelayar tersebut berjaya menyelamatkan diri dengan menggunakan ‘sea boat’ milik mereka menuju Pulau Undan dalam keadaan laut bergelora sebelum pihak Maritim negeri sampai.

“Mangsa, Terrance, 68, warga Portugal dan George Alfredo, 50, warga Mexico merupakan kru yang terselamat dari bot layar karam tersebut.

“Mereka dikatakan baru sahaja membeli bot layar itu di Langkawi dan memulakan pelayaran sejak 3 Mac lalu untuk menuju ke Batam sebelum ke destinasi akhir di Hong Kong,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media berhubung isu tersebut di sini, hari ini.

Jelasnya, bagaimanapun kedua- dua mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan dibawa ke Jeti Maritim di sini untuk tindakan lanjut.

“Ini merupakan kes pertama bagi tahun 2019 melibatkan kejadian kecemasan di laut perairan Melaka dan Negeri Sembilan,” jelasnya. 

Amran turut menasihati orang ramai terutamanya komuniti maritim supaya lebih berhati-hati dan menitikberatkan keselamatan ketika berada di laut.

Sekiranya terdapat kecemasan di laut terus hubungi talian Pusat Operasi Maritim 06-3876730 dan 999 yang beroperasi secara 24 jam.

CATEGORIES