2 lelaki diberkas : Polis Melaka rampas 153.52 kg dadah bernilai RM1.29 juta

2 lelaki diberkas : Polis Melaka rampas 153.52 kg dadah bernilai RM1.29 juta

RAJA Shahrom menunjukkan sebahagian wang sogokan RM100,000 yang ditawarkan kepada anggota peronda semasa pemeriksaan dilakukan.
Foto SHAZZUAN SHAH MOHD SALLEH

BUKIT BERUANG 3 Okt. – Polis Melaka berjaya merampas 153.52 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM1.29 juta di tiga lokasi, semalam.

Keseluruhan rampasan itu termasuk 3.86 kg heroin base, 6,960 biji pil eramin 5, 137.03 kg dadah jenis kafein, peralatan untuk memproses dadah, 592 gram heroin, 7.944 kg ketamin dan 4.1 kg syabu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, rampasan itu melibatkan dua kes pada hari sama.

Katanya, bagi kes pertama, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka telah membuat serbuan pada jam 9.45 pagi di sebuah premis di Tengkera hasil maklumat orang awam dan menangkap seorang lelaki Cina berusia 43 tahun.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, polis merampas kira-kira 3.86 kg heroin base, 6,960 biji pil eramin 5,137.03 kg kafein dan peralatan memproses dadah.

“Hasil soal siasat telah membawa kepada serbuan kedua di sebuah apartment di Bandar Hilir dan merampas 592 gram dadah jenis heroin, 7.944 kg ketamin dan 100 gram syabu dianggarkan nilai rampasan kira-kira RM1,015,560,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.

Bagi kes kedua pada hari sama, anggota Peronda Lebuhraya Trafik Bukit Aman turut menahan seorang lelaki Cina berusia 34 tahun ketika memandu Mercedes Benz SLK 200 yang sedang menuju ke Johor Bahru dari Kuala Lumpur pada jam 5 petang.

Hasil pemeriksaan pada kenderaan tersebut, polis menemui dadah syabu seberat empat kg dianggarkan bernilai RM280,000.

Menurut Raja Shahrom, suspek kemudian cuba menyogok anggota terbabit dengan wang RM100,000 yang disimpan di bahagian bawah tempat duduk pemandu.

“Kesemua tangkapan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan,” katanya.

560 Shares
CATEGORIES
TAGS