19 buah kilang kayu di Melaka diberikan lesen sementara

19 buah kilang kayu di Melaka diberikan lesen sementara

AYER KEROH 12 Dis. – “Sebanyak 19 buah kilang kayu di Melaka akan diberikan lesen sementara bagi program pemutihan kilang-kilang berasaskan perkayuan tanpa lesen,” kata Adly Zahari,

Adly yang juga Ketua Menteri berkata, di Melaka sahaja terdapat 93 buah kilang berasaskan perkayuan manakala 54 daripada kilang tersebut beroperasi secara berlesen.

Menurutnya, sejumlah 30 kilang sudah tidak beroperasi dan kesemua yang tidak beroperasi ini akan ditamatkan lesen mereka oleh kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri ambil ketetapan 19 buah kilang yang menerima lesen sementara itu dapat mengikut Prosedur operasi standard (SOP) dan keperluan yang ditetapkan kerajaan negeri.

Jelasnya, tujuan pemutihan adalah kerana kerajaan negeri tidak mahu menghentikan operasi mereka, sebaliknya mereka perlu patuhi keperluan kerajaan kerana daripada 19 kilang itu ada lesen yang telah tamat tempoh.

“Jika mereka gagal patuhi keperluan yang ditetapkan, maka pemilik kilang akan dikenakan tindakkan undang-udang di bawah enakmen yang telah ditetapkan.

“Pemilik kilang yang gagal boleh didenda RM2,000 atau satu tahun penjara. Kerajaan negeri juga akan mengkaji semula enakmen tersebut,” katanya.

Adly berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain beliau menjelaskan kerajaan negeri tidak akan meneruskan aktiviti pembalakan di Melaka pada masa akan datang bagi memastikan kelestarian flora dan fauna terus terjaga.

“Kecuali di hutan simpan itu, ada kerja-kerja mengeluarkan kayu-kayu lama dan selepas itu tidak dibenarkan lagi,” tambahnya.

CATEGORIES